Monday 23 July 2012

Hudud PAS dan Hudud Umno – Apa Bezanya?


KALAU dulu hanya PAS yang menjadikan hudud dan negara Islam sebagai simbol identiti partinya, sekarang ada pemimpin Umno pun mahu ikut serta dalam permainan itu. Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah Datuk Ayub Rahmat dalam sidang dewan undangan negeri Johor baru-baru ini mencadangkan agar Johor menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan hukum hudud “sebenar” yang berbeza dengan hudud PAS.
Tidak mahu ketinggalan, ketua wanita Umno Kepala Batas, ketua Puteri Umno dan ketua Perkasa juga menyokong pelaksanaan hudud, kononnya kerana memikirkan kepentingan dan kebaikannya umat Islam di Malaysia. Selain PAS dan Umno, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pun menyokong PAS untuk melaksanakan hudud.
“Hudud dan negara Islam” seperti menjadi alat dagangan politik yang dikibar-kibar terutamanya setiap kali mahu pilihanraya. Soalannya, apakah perbezaan hudud PAS dan hudud Umno? Dan apakah isu-isu penting yang mesti dijawab oleh semua ahli politik sebelum hudud boleh dilaksanakan seperti yang mereka inginkan?
Apa kelebihan hudud Umno?
Mashitah Ibrahim (sumber: islam.gov.my)
Mashitah Ibrahim (sumber: islam.gov.my)
Pada waktu ini, belum diketahui apakah perbezaan antara hudud PAS dan Umno kerana walaupun Ayub Rahmat mahu melaksanakan “hudud sebenar”, beliau sendiri pun belum ada membuat sebarang draf cadangan. Cuma yang diketahui ialah Ayub Rahmat mahu hudud itu meliputi semua rakyat Malaysia, termasuk orang bukan Islam. Dan walaupun menyokong, namun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengakui bahawa kerajaan masih kekurangan prasarana terdiri daripada mahkamah, hakim dan pegawai pendakwa bagi melaksanakan hudud di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno yang turut ghairah menyokong, juga sekadar mencadangkan untuk “menghimpunkan pakar-pakar terlebih dahulu bagi memberikan pandangan supaya hukum ini benar-benar dapat dilaksanakan.”
Soalan yang belum dijawab 
Selain daripada persoalan di atas, isu yang lebih penting ialah apakah hudud sesuai dilaksanakan di Malaysia? Saya kira, penyokong-penyokong pelaksanaan hudud tak kira mereka itu daripada Umno, PAS atau PKR masih belum menjawab persoalan penting iaitu:
 Bukankah pelaksaan hukum hudud bertentangan dengan perlembagaan Malaysia?
 Apakah ia sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia yang moden dan berbilang kaum?
 Bukankah ia melanggar hak asasi manusia?
 Walaupun hudud hanya dilaksanakan pada orang Islam, apakah benar kehidupan dan hak orang bukan Islam tidak akan terjejas langsung?
Pengkempen hudud seperti tidak begitu selesa menjawab persoalan yang dikemukakan ini.
Realiti lawan utopia
Penyokong-penyokong hudud sering cuba menyedapkan hati orang ramai dengan mengatakan, “Jangan risau, walau ada hukum sebatan, namun sebatan itu tidak menyakitkan.” Atau, “Orang-orang miskin tidak akan dipotong tangannya.” Mereka akan beri jaminan bahawa hukum hudud akan dijalankan dengan penuh keadilan.
Orang-orang yang mendengarnya pun mengimpikan sebuah negara utopia, yang mana tiada lagi jenayah serta diskriminasi dan rakyat akan hidup aman bahagia. Tetapi bolehkan hidup aman bahagia itu dicapai tanpa hudud? Realitinya, beberapa negara bukan Islam di Eropah mempunyai kadar jenayah yang lebih rendah berbanding sesetengah negara Islam yang telah melaksanakan hukum hudud.
Orang Islam juga suka berbangga menceritakan bahawa setiap kali ke masjid, pedagang di Mekah akan meninggalkan barang dagangannya begitu saja kerana tiada siapa yang akan mencurinya. Namun hakikatnya, sering sekali kita dengar cerita tentang dompet yang dicuri semasa menunaikan ibadat di tanah Arab.  Jemaah wanita juga sentiasa diingatkan betapa bahayanya untuk berjalan atau naik teksi bersendirian atau walau bersama saudara atau teman perempuan saja semasa di sana.
Realiti lain yang lebih membimbangkan ialah pendekatan yang diambil oleh penyokong hudud. Mengikut logik dan respons pemimpin politik yang menyokong hudud, lebih keras sesuatu hukuman hudud, maka lebih Islamlah ia.
Contohnya, semasa Kartika Dewi Shukarno dijatuhkan hukuman enam kali sebatan kerana minum alkohol, lebih kurang 70% orang Islam di Malaysia menyokong hukuman tersebut. Walaupun berkali-kali Kartika menyatakan kekesalannya dan memohon maaf di media, namun tetap saja orang-orang dan pertubuhan-pertubuhan Islam mendesak kerajaan untuk segera menyebat beliau. Sikap sadis sedemikian amat menyedih dan mengerikan sekali.
Nik Aziz
Nik Aziz
Pemimpin PAS Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak puas hati dengan hukuman enam sebatan kerana menurut beliau, sepatutnya Kartika harus disebat 80 kali. Apakah sebagai seorang ulama, Nik Aziz tidak tahu bahawa Al-Qur’an tidak ada memberi sebarang hukuman apa pun terhadap orang yang meminum arak?
Adanya perbalahan di kalangan ulama klasik sama ada hukuman sebatan terhadap orang yang minum arak itu 40 kali atau 80 kali malah menunjukkan ia adalah hukuman takzir (budi bicara kerajaan) dan bukan hukum hudud. Malah, Nik Aziz dan para penyokong hudud memberi alasan bahawa hukuman sebat itu kononnya tidak menyakitkan. Mereka juga mengatakan hukuman hudud itu hanya bertujuan untuk memalukan. Aduhai, saya kira hukuman hudud rejam dan juga potong tangan itu bukan sekadar untuk memalukan, tetapi tersangat menyakitkan dan malah membuatkan si pesalah hilang anggota badan atau hilang nyawanya.
Penyokong hudud gagal mengangkat sikap Islam yang mengutamakan keadilan dan kasih sayang, tetapi sebaliknya sukakan hukuman keras, seperti lebih keras hukumannya, maka lebih Islamlah ia.
Mengapa perlu bimbang?
Kita punya sebab untuk bimbang terhadap pelaksanaan hudud kerana:
i) Draf undang-undung hudud yang telah diusulkan oleh PAS dan disokong oleh Anwar walaupun secara peribadi lebih merupakan “cut and paste” dari undang-undang Pakistan atau kitab fikah klasik. Ia tidak menunjukkkan ada usaha menawarkan ijtihad atau pemikiran baru yang lebih sesuai untuk konteks masa kini.
ii) Agamawan dan penguasa agama masih menunjukkan sikap autokratik dalam membuat sesuatu keputusan, seperti amalan mengharamkan apa saja acara, filem atau buku yang mereka tidak suka atau tidak fahami.
iii) Masih banyak kedengaran wanita-wanita yang tidak berpuas hati terhadap layanan buruk dan diskriminasi yang mereka alami di mahkamah syariah. Maka, sikap dan kemampuan hakim dan pegawai-pegawai mahkamah syariah masih boleh dipersoalkan.
iv) Ramainya agamawan yang masih kurang faham dan peka tentang isu-isu sosial kemasyarakatan dan kesukaran hidup yang dihadapi sesetengah anggota masyarakat.  Kefahaman mereka tentang isu gender juga masih tipis sekali. Seperti yang ditunjukkan dalam kes Kartika, sikap mahu menghukum seberat mungkin masih menebal.
Hudud
Undang-undang hudud PAS tidak menerima perempuan dan orang bukan Islam sebagai saksi
v) Dalam hal kelayakan menjadi saksi, undang-undang hudud PAS hanya mengiktiraf “lelaki Islam yang akil baligh dan tidak pernah melakukan dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan dosa kecil” sahaja sebagai yang layak menjadi saksi.  Perempuan dan orang bukan Islam tidak diterima sebagai layak menjadi saksi.
Hukum siapa?
Saya ingat lagi sewaktu kerajaan PAS Terengganu mengemukakan draf hudud mereka untuk pertama kali, mereka telah meletakkan kesalahan rogol dalam kategori zina. Ia tentu saja ditentang oleh para aktivis wanita kerana zina adalah perbuatan suka sama suka. Rogol pula adalah jenayah di mana ada unsur pemaksaan terhadap wanita. Jadi, di manakah keadilan sekiranya mangsa rogol juga dikenakan hukuman sebat?
Setelah diprotes hebat, draf hudud PAS pun dipinda. Seorang ahli Sisters in Islam, Dr Nik Noriani Nik Badlishah, berkata kepada pemimpin PAS pada waktu itu: “PAS kata undang-undung hudud PAS ini adalah hukum Tuhan. Tapi nampaknya setelah diprotes, hukum hudud PAS ini boleh pula dipinda-pinda. Maka, akui sajalah bahawa hukum hudud PAS ini hanyalah ciptaan manusia semata-mata”.
Keperluan untuk melaksanakan hudud juga bukanlah sesuatu yang dimestikan di dalam Islam. Dengan kebangkitan Arab Spring sekarang, kelihatannya parti-parti Islam yang kini menerajui pemerintahan di Tunisia, Turki dan Mesir masih mengekalkan undang-undangnya yang agak sekular dan tidak melaksanakan hudud. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun kini mengatakan yang pelaksanaan hudud bukanlah keutamaan PAS dan sebenarnya dalam Al-Qur’an tidak ada pun menyebut Negara Islam, tetapi konsep negara kebajikan.
Jelas bahawa mengamalkan hudud bukanlah sesuatu yang akan menyempurnakan Islam di negara kita. Yang akan mengharumkan nama Islam dan menjaga kepentingan rakyat sama ada yang Islam ataupun yang bukan Islam adalah keadilan, kesetaraan dan kesejahteraan masyarakat. Hudud yang dicadangkan oleh PAS dan disokong oleh Anwar langsung tidak memberi jaminan bahawa unsur-unsur inilah yang akan diutamakan. Hudud Umno pula kekurangan apa-apa bentuk dan nilai yang boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa ianya berbeza daripada hudud PAS.
Jadi apa tujuan sebenar ahli-ahli politik daripada Umno, PAS dan PKR mencadangkan dan memajukan pelaksanaan hudud jika bukan hanya kerana mahu main politik sesama sendiri? 

Norhayati Kaprawi is a Muslim woman activist, a filmmaker and an Asian Public Intellectualsfellow.

Taken from http://www.thenutgraph.com/hudud-pas-dan-hudud-umno-ae/